Salah laku ujian keselamatan Daihatsu – MIROS mahu nilai Axia walaupun Perodua dakwa tiada masalah

Susulan pengakuan Daihatsu yang melakukan manipulasi keputusan ujian pelanggaran di Jepun yang turut melibatkan Perodua Axia minggu lalu, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menegaskan bahawa pihaknya akan membuat penilaian tahap keselamatan model berkenaan walaupun tiada aduan diterima dari orang ramai dan pihak Perodua sendiri memberi jaminan bahawa produk berkenaan masih selamat digunakan di atas jalan raya.

“Kami tidak menerima sebarang aduan, namun kami akan meneliti dakwaan Perodua,” kata pengerusi MIROS, Wong Shaw Voon kepada FMT semalam dan menjelaskan bahawa penilaian terhadap Axia 2023 akan dibuat demi menjamin tahap keselamatannya.

Manakala dalam laporan Malaysiakini, Wong berkata bahawa MIROS akan berjumpa dengan Perodua dan akan membuat penilaian sewajarnya serta meneliti dakwaan syarikat itu terhadap tahap keselamatan Axia.

Minggu lalu Daihatsu telah mengesahkan bahawa ia telah melakukan “salah laku” dalam ujian pelanggaran yang dilakukan bagi permohonan kelulusan peraturan untuk empat model iaitu Perodua Axia 2023, Toyota Vios (dengan lencana Yaris Ativ di Thailand dan pasaran lain), Toyota Agya dan sebuah lagi model yang akan dilancarkan.

Daihatsu mengaku di atas perbuatan tersebut dalam sebuah kenyataan, dan menambah lebih 88,000 unit dari model yang terkesan itu telah dijual di Malaysia, Thailand, Indonesia, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait dan Mexico setakat ini. Penghantaran stok baru juga telah digantung.

“Kami memohon maaf yang tak terhingga kerana mengkhianati kepercayaan pelanggan kami serta pihak berkepentingan lain dan kerana telah menyebabkan situasi ini,” jelas kenyataan yang dikeluarkan Daihatsu sebelum ini.

Syarikat induk Daihatsu iaitu Toyota telah mengeluarkan kenyataan yang dihebahkan berasingan dan datang dengan nada lebih keras.

“Kesalahan Daihatsu itu berkaitan keselematan, yang menjadi aspek paling utama sesebuah kenderaan. Kami menganggap hal ini sebagai langsung tidak boleh diterima dan mengkhianati kepercayaan pelanggan. Oleh kerana masalah ini berlaku melihatkan kereta penumpang jenama Toyota, kami percaya masalahnya tidak hanya terhad kepada Daihatsu sahaja,” jelas Pengerusi Lembaga Toyota, Akio Toyoda.

“Kami akan mulakan dengan menjalankan siasatan terperinci dan mengumpul fakta berkaitan untuk memahami situasi ini, menentukan penyebab sebenarnya dan bekerja sehabis daya untuk mengelakkannya daripada berulang. Kami juga memaklumkan kepada umum dalam waktu yang sama berkenaan fakta yang telah dikenal pasti melalui siatatan itu,” tambah beliau.

Apa yang berlaku adalah dalam ujian berkenaan Daihatsu telah mengubah suai struktur bahagian dalam panel pintu hadapan. Menurut laporan Reuters, ubahsuai tersebut dibuat bagi meminimumkan risiko panel plastik dalaman pintu tersebut boleh pecah dan terhasilnya bucu tajam yang akan mencederakan ketika beg udara sisi diaktifkan – namun ia hanya untuk unit-unit yang diuji, dan tidak ada pada model produksi sebenar yang dijual.

Sebelum ini Perodua dan UMW Toyota masing-masing telah mengeluarkan kenyataan yang menyatakan pendirian yang sama iaitu Axia dan Vios memenuhi pensijilan UN-R95, membolehkan kedua-dua model tersebut dijamin selamat digunakan di atas jalan raya.

Oleh itu tiada sebarang panggilan semula akan dibuat oleh Perodua dan UMWT terhadap Axia dan Vios, dan penghantaran kepada pelanggan akan dibuat seperti biasa.

The post Salah laku ujian keselamatan Daihatsu – MIROS mahu nilai Axia walaupun Perodua dakwa tiada masalah appeared first on Paul Tan's Automotive News.

from Paul Tan’s Automotive News https://ift.tt/qZnwmcv

Leave a comment