Suzuki Malaysia tunjuk teaser motosikal adventure – V-Strom 800DE dilancar 6 Mei ini? enjin 776 cc, 84.3 PS

Setelah rancak dengan pengenalan pelbagai model pada tahun sebelum ini, Suzuki Malaysia nampaknya masih belum melancarkan sebarang model baru pada tahun 2023. Keadaan itu mungkin berubah apabila syarikat itu dilihat menyiarkan teaser di laman sosial.

Teaser kali ini cuma menampakkan bayang bahagian hadapan sebuah motosikal, yang mempunyai bentuk seakan motosikal adventure dengan penghadang angin tinggi, paruh (penghadang lumpur) di bawah lampu, suspensi tinggi serta rim jejari (spoked).

Ayat “The Master of Adventure” dan “A storm is coming your way” yang terpapar bersama teaser ini juga menguatkan lagi pembayangnya dengan menunjuk ke arah model adventure terbaru Suzuki yang diperkenalkan kepada dunia November tahun lalu, iaitu V-Strom 800DE.

Fokus utama pada model ini adalah penggerak yang dikatakan serba baru, iaitu enjin dua silinder selari DOHC 776 cc dengan crankshaft 270 darjah serta pengimbang yang dipanggil sebagai Suzuki Cross Balancer. Kuasa enjin ini boleh mencecah sehingga 84.3 PS dan tork 78 Nm, dan ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan klac Suzuki Clutch Assist System (SCAS).

Empat mod tunggangan disediakan pada V-Strom 800DE, iaitu Active (A), Basic (B), Comfort (C) dan Gravel. Mod A adalah yang paling agresif dan C paling santai, sementara Gravel pula sesuai untuk tunggangan offroad kerana ia masih membenarkan tayar belakang tergelincir sedikit tanpa mengurangkan kuasa.

Sistem kawalan cengkaman Suzuki Traction Control System (STCS) pada motosikal ini juga boleh dipilih dalam empat mod, ataupun ditutup terus, sementara ABS disediakan dalam dua mod, bersama tambahan pilihan untuk ditutup terus bagi roda belakang.



Suspensi Showa dengan jarak gerak 220 mm dipasang pada V-Strom 800DE, dan ia terdiri daripada fork USD boleh laras di hadapan dan monoshock dengan tabung gas serta tombol pelaras pra beban di belakang. Apabila dipadankan dengan rim spoked 21 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, motosikal ini menyediakan jarak kelegaan dari tanah 220 mm dan tinggi tempat duduk 855 mm.

Meskipun mempunyai karekter lasak, V-Strom 800DE masih diberikan ciri canggih seperti skrin TFT lima inci serta quickshifter yang diberikan secara standard. Selain daripada itu, ia juga dilengkapi tangki bahan api 20 liter, soket pengecas USB serta penghadang angin hadapan yang boleh dilaras tiga tahap (manual), manakala berat keseluruhannya adalah 230 kg.

Teaser yang dikeluarkan juga mempunyai tarikh, iaitu 6 Mei 2023, dan kita boleh menjangkakan pengenalan V-Strom 800DE ini bersama sebuah model naked yang juga sudah diberikan petunjuk melalui teaser sebelum ini, iaitu GSX-8S.

GALERI: Suzuki V-Strom 800DE 2023















The post Suzuki Malaysia tunjuk teaser motosikal adventure – V-Strom 800DE dilancar 6 Mei ini? enjin 776 cc, 84.3 PS appeared first on Paul Tan's Automotive News.

from Paul Tan’s Automotive News https://ift.tt/ztRXmx7

Leave a comment